Anak Dipaksa Minum Air Mendidik Oleh Ibu Tiri Mangsa

MURID sekolah di Lenggeng, Negeri Sembilan, melecur pada bibir selepas dipercayai dipaksa minum air panas yang masih menggelegak oleh ibu tirinya.

Kejadian berlaku Isnin lalu, sehari selepas ibu kandungnya menghantar mangsa yang juga anak bongsu dari empat beradik pulang ke rumah bekas suaminya di Lenggeng.

Ibu kanak-kanak tahun satu itu berkata, kejadian berkenaan disedarinya ketika dia mengambil anaknya dari rumah adik bekas suaminya, 12.30 tengah hari, Jumaat lalu.

“Ketika saya hendak menjemputnya bercuti di rumah, saya dapati terdapat kesan melecur di seluruh bahagian bibir anak saya.

“Apabila saya bertanyakan punca kesan lecur itu, anak saya memberitahu dia dipaksa minum air panas yang sedang menggelegak,” katanya ketika ditemui di Institut Pedriatrik, Hospital Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, dia terkejut dan tidak menyangka anaknya akan diperlakukan seperti itu.

Dia kemudian membawa anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur pada hari sama sebelum membuat laporan polis.

“Hati ibu mana yang tidak sayu apabila anak kandungnya sendiri diperlakukan sedemikian rupa oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan tidak memberikan kasih sebagai seorang ibu.

“Sebelum ini, apabila saya membawa anak ketiga dan bongsu ke rumah, mereka akan berasa sangat gembira, namun ketika hendak menghantarnya kembali ke rumah suami, semua anak-anak saya menangis dan minta tidak dihantar kembali ke sana,” katanya.

Ibu kanak-kanak terbabit berkata, dia berpisah pada 2011 dan menyerahkan hak penjagaan kepada bekas suaminya itu selepas mengalami masalah kewangan, namun selepas suaminya itu mendirikan rumah tangga pada Disember 2016, banyak perubahan yang berlaku secara mendadak ke atas empat anak perempuannya termasuk yang sulung berusia 14 tahun, 13 yang kini berada di asrama, 8 tahun dan 7 tahun.

“Pada masa ini, isu hak penjagaan anak sedang berlangsung di Mahkamah Syariah, namun sekiranya kes ini mengambil masa yang panjang, saya khuatir sesuatu yang lebih buruk akan berlaku ke atas anak-anak saya.

“Masalah mula timbul apabila saya membawa anak saya tinggal bersama saya, pihak polis akan menghubungi saya dan mengarahkan saya membawa anak saya pulang ke Lenggeng, malah saya juga pernah ditahan di lokap selama tiga hari atas kesalahan berkenaan.

“Apabila saya membuat laporan polis, tiada tindakan susulan atau penyelesaian dicapai kerana pegawai penyiasat IPD Nilai menganggap perkara ini adalah masalah rumah tangga berdasarkan laporan-laporan yang pernah dibuat sebelum ini,” katanya.

Guru sekolah agama ini juga berharap supaya perkara ini dapat diselesaikan segera dan sebarang tindakan undang-undang sewajarnya dapat diambil bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini termasuk unsur penderaan sehingga membawa kematian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada ibu kandung kanak-kanak terbabit.

Ž”Ibu mangsa yang berusia 35 tahun ada membuat laporan di Dang Wangi, 7.30 malam Sabtu lalu.

Ž”Bagaimanapun, berdasarkan laporan, kejadian didapati berlaku di Lenggeng, Negeri Sembilan. Kes akan diserahkan kepada pegawai penyiasat (IO) di IPD Nilai,” katanya.

Sumber:hmetro.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *