Tergamak Adik Ipar Panggil Saya ‘Betina Penghasut Ibu Mentua’, Sudahlah Duit Belajar Universitinya Pun Saya Jugalah Yang Tanggung

Gambar Sekadar Hiasan

Aduhai.. sesak emosi bila baca luahan hati pembaca Mingguan Wanita ini. Bertengkar ipar duai akibat sikap adik-adik ipar yang tak menghormati dan menghargai pengorbanan kakak iparnya.

Bukan masa dan tenaga, duit ringgit kakak ipar pun dah laburkan demi adik ipar belajar sampai universiti. Tapi akhirnya apa yang jadi.. kakak ipar diperlekeh sampai rasa terhina.

Ikuti luahan hati pembaca ini yang dikongsikan dalam ruangan ‘Saranan’ dalam majalah Mingguan Wanita. Identiti wanita ini dirahsiakan demi menjaga nama baiknya dan keluarga terdekat.

Bahagia Cuma 10 Tahun Pertama

Usia saya kini 32 tahun dan telah melayari alam rumah tangga selama 10 tahun. Awal perkahwinan tak banyak mendatangkan masalah kerana saya duduk tanpa keluarga mentua dan juga keluarga saya.

Tetapi semua mulai berubah apabila saya mengikut suami pulang ke kampungnya dan menetap di sana. Segala episod baru bermula. Saya mengambil masa hampir setahun bagi menyesuaikan diri dengan keluarga mentua.

Mentua dan adik ipar telah saya anggap seperti ibu dan adik sendiri. Malangnya, itu hanya di pihak saya. Masalah banyak berpunca dari sikap adik-beradik ipar yang tak pernah menghargai dan menghormati saya.

Hampir enam tahun saya duduk bersama mentua dan pelbagai masalah telahpun timbul.

Suami saya lebih banyak mendiamkan diri. Dia tak mahu keadaan bertambah rumit. Atas dasar itu jugalah, saya pun lebih suka ambil langkah berdiam diri juga.

Ya.. sebagai manusia biasa akhirnya selama mana saya mampu bertahan. Saya tak dapat menjadi orang yang sentiasa sabar. Lagi-lagi ketika sikap adik-adik ipar saya semakin melampaui batas.

Kalau nak dikira pertengkaran dengan suami memang tak terhitung banyaknya. Segala keputusan selalu hmmm… ‘Biarlah nak buat macam mana kita menumpang dengan orang’, kata-kata itu sering saya tekankan pada diri saya sendiri.

Saya Berdiam, Adik Ipar Ambil Kesempatan

Sayangnya, sikap berdiam diri ini akhirnya membuatkan adik-beradik ipar bagaikan mengambil kesempatan. Bayangkan, walaupun saya bekerja, pulang keletihan.. semua tugas-tugas di rumah tetap saya juga yang kerjakan.

Suami saya bekerja sendiri. Kebanyakan duitnya banyak dilaburkan untuk adik-adiknya kerana masih belajar.

Saya pula tak berkira. Sanggup berkongsi duit gaji sekiranya duit tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan adiknya. Bila salah seorang adiknya tamat belajar di universiti dan bekerja mula bekerja, adik itu mula merasakan dirinya terlalu bagus.

Sikap itulah membuatkan dia berani berkurang ajar dengan saya. Seorang lagi adiknya berperangai tak senonoh dan melakukan perkara-perkara yang mengaibkan ibu bapa.

Mentua ada meminta saya campur tangan bagi menyelesaikan masalah yang ditimbulkan anaknya. Betapa sedihnya saya bila niat baik untuk menjaga nama keluarga mentua disalah tafsir.

Nasihat yang saya sampaikan itu rupanya membuatkan adik suami saya yang seorang lagi tak berpuas hati. Dipanggilnya saya ‘Betina’ yang menghasur ibunya. Dia juga menuduh sayalah punca ibunya menangis.

Saya merasa pelik dan saya berbincang dengan suami untuk mencari jalan keluar. Akhirnya saya merasakan kita berbuat baik seperti mana sekali pun orang hanya akan nampak kita yang jahat.

Semenjak itu saya nekad tidak mahu mencampuri urusan keluarga mentua.

Bila Kena Anak Sendiri, Mentua ‘Pejam’ Mata

Saya berasa tersinggung kerana selama ini apa-apa keperluan mereka masa belajar saya cuba penuhi. Memang sepatutnya dari awal lagi saya dan suami duduk sendiri. Memandang ibu mentua saya tidak sihat, saya akur dan ikhlas mahu menjaganya.

Namun, ada ketikanya saya sendiri seakan tak faham dengan ibu mentua. Bila kesalahan orang terlalu cepat ditegur tapi bila anak-anak sendiri sanggup menutup mata.

Soal baju anak-anak pun selalu jadi perkara yang terakhir. Ini kerana saya terlalu mementingkan mentua dan adik-beradik ipar saya. Malah, keperluan saya sendiri saya yang uruskan. Syukurlah kerana saya bekerja. Sering saya terfikir bagaimana nasib anak-anak kalau saya tak bekerja.

Apakah kelak yang jadi pada saya kerana suami telah memutuskan untuk duduk sendiri tapi dalam masa yang sama saya tak mahu mentua tersinggung apabila saya keluar dari rumah mereka. Dilema sungguh hati ini.

Memang bila kita cuba menjaga hati dan perasaan orang namun tidak semua orang boleh berfikir sama macam kita. Hanya pada Allah saya berdoa agar adik-beradik saya diberi hidayah dan sedar akan kesilapan diri masing-masing.

Begitu juga saya, saya cuba untuk berubah dan berharap rumah tangga saya akan diredhai Allah.

Kumpulan Media Karangkraf

Sumber: mingguanwanita.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *