Anda Mungkin Sakit Mental Jika Bermain Video ‘Game’ Secara Berlebihan

Permainan video sememangnya menjadi kegilaan setiap kanak-kanak kerana ia antara aktiviti yang didedahkan sejak usia mereka masih kecil lagi.

Hobi terbabit kemudian dibawa ke alam dewasa dan ada di antaranya menjadikan permainan video ini sebagai kebiasaan dalam kehidupan seharian mereka. Tidak kurang juga yang menjadikan ianya sebagai satu kerjaya.

Bagaimanapun, adakalanya satu perkara yang diminati itu boleh mendatangkan masalah dan impak negatif sekiranya dilakukan secara berlebihan atau erti kata lain menjadi ketagih.

Bukan perkara pelik apabila ada antara mereka ini sering menghabiskan masa seharian hanya untuk bermain permainan video. Namun, tahukah anda ketagihan permainan video ini mampu mengakibatkan kematian?

MATI MENGEJUT SELEPAS BERMAIN 10 JAM TANPA HENTI

Menurut laporan Bernama pada tahun 2014, seorang wanita China berusia 27 tahun mati mengejut selepas bermain permainan video selama 10 jam tanpa henti.

Pada tahun 2015 pula, seorang remaja lelaki dari Rusia dikejarkan ke wad kecemasan dan meninggal dunia di hospital selepas koma ketika bermain permainan video.

Mangsa dilaporkan bermain permainan video itu secara berterusan hampir 22  hari dan hanya berhenti untuk tidur serta makan.

Ini hanya sebahagian laporan yang dikenal pasti dan difahamkan banyak lagi kesan buruk akibat bermain permaianan video secara berlebihan.

KLASIFIKASI SEBAGAI PENYAKIT MENTAL 2018

Berdasarkan kes sebegini yang kian meningkat, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)  mengklasifikasi ketagihan ini sebagai penyakit mental dalam manual penyakit 2018 badan dunia berkenaan.

Merujuk Laporan Klasifikasi Penyakit Antarabangsa (ICD-11) WHO, ‘gaming disorder’ telah dimasukkan dalam kategori gangguan mental, tingkah laku atau perkembangan otak.

Jelas laporan itu, seseorang akan diklasifikasikan mengalami gangguan mental jika memberi keutamaan yang melampau kepada permainan video sehingga meninggalkan aktiviti harian lain.

Selain itu, mereka ini juga akan meneruskan permainan video walaupun berlaku kesan negatif terhadap diri mereka.

Menurut WHO, corak tingkah laku ini sudah cukup untuk memberi impak negatif kepada diri, keluarga, sosial dan pekerjaan ‘gamers’ terbabit.

Untuk makluman, laporan ICD ini digunakan sebagai penyelaras antarabangsa untuk mendefinasikan keadaan kesihatan seseorang pesakit itu. Ia digunakan oleh profesional kesihatan secara global.

Jika anda menyedari kelakuan sebegini yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga, mungkin belum terlambat untuk anda mengambil tindakan sewajarnya.

Boleh bermain ‘video game’ tetapi jangan sampai kesihatan diri mahupun melakukan aktiviti harian lain juga terabai.

Sumber:rojakdaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *