Cara Semulajadi Yang Berkesan Untuk Menghilangkan Bau Busuk & Hapak Dalam Kereta

“Anak tertumpah susulah, tertinggalkan makananlah, semalam pula termuntah atas kusyen kereta. Macam mana cara hilangkan bau kereta yang dah makin teruk ni? Nanti kalau sembur pewangi banyak-banyak, aku juga yang pening.”

Sesetengah orang mungkin tidak suka bau-bauan yang agak memeningkan daripada bahan kimia, lebih-lebih lagi apabila ada anak kecil atau bayi.

Berikut kami kongsikan beberapa cara hilangkan bau kereta dengan menggunakan bahan pewangi daripada sumber semulajadi.

5 CARA HILANGKAN BAU KERETA MENGGUNAKAN BAHAN SEMULAJADI

Selain menggunakan ‘air-freshener’ atau bahan pewangi yang dijual di pasaran, anda boleh menggunakan beberapa cara hilangkan bau kereta secara semulajadi. Selain menjimatkan, anda tidak perlu risau kesan bahan kimia. Berkesan!

1. ARANG

Sebelum anda mewangikan kereta, perkara pertama yang mungkin anda perlu pertimbangkan adalah meneutralkan bau busuk, hapak, atau kepam yang dah sedia ada dalam kereta.

Contohnya, kalau ada bau durian, bau bangkai, atau bau muntah – tentu kita perlu hilangkan bau ini terlebih dahulu, bukan? Kalau tiba-tiba disembur pewangi, boleh jadi lebih pening dengan kombinasinya.

Oleh itu, anda boleh mengambil beberapa ketul arang untuk menyahkan bau kurang enak tersebut. Cara pertama, letakkan arang dalam bekas ‘tupperware’ dan biarkan terbuka di lantai kereta. Cara kedua, bungkuskan arang dengan tisu atau beg kain dan letak berhampiran kawasan yang berbau.

Memang ada dijual yang siap macam dalam gambar di bawah ini. Tapi, kalau buat sendiri bukannya susah. Jimat dan berbaloi!

2. SODA PENAIK

Kalau tak ada arang, soda penaik atau ‘baking soda’ adalah satu lagi cara hilangkan bau kereta yang berkesan.

Anda boleh meletakkan satu bekas ‘tupperware’ yang berisi soda penaik ke dalam kereta seperti arang di atas. Satu lagi cara, kalau anda berhasrat nak cuci dan vakum kereta, taburkan dulu soda penaik ini ke atas lantai kereta atau bahagian yang berbau kuat. Biarkan 2-3 jam untuk ia menyerap bau. Kemudian, boleh vakum.

Selalu juga orang gunakan teknik ini untuk menghilangkan bau hancing pada tilam kerana ia efektif untuk menyerap bau.

3. SERBUK KOPI / TEH

Sebagai alternatif, anda boleh cuba cara hilangkan bau kereta dengan menggunakan serbuk kopi atau teh. Kedua-dua bahan ini berkesan menyerap aroma yang kurang sedap dalam kereta. Boleh rujuk cara di bawah ini. Senang saja. Nak guna uncang teh / kopi terus pun boleh.

Mungkin lebih ramai suka gunakan kopi kerana baunya pun harum, segar biji mata! Tapi seeloknya, kalau guna serbuk kopi, pilihlah jenis serbuk kopi yang selalu dibuat kopi ‘o’, bukan jenis ‘instant’ seperti Nescafe apa-apa yang 3-in-one ya. Serbuk kopi ‘instant’ senang larut kalau terkena air. Nanti habis berwarna perang dan rosak pula kain uncang yang digunakan ini.

4. DAUN PANDAN

Bila bau busuk dalam kereta dah hilang, bolehlah tambah keharuman menggunakan daun pandan. Seperti yang kita tahu, daun pandan mempunyai aroma yang wangi dan menyegarkan, sebab itulah ia digunakan sebagai bahan asas dalam bunga rampai.

Siapa yang ada daun pandan di belakang rumah, keratkan 2-3 helai dan ikatkan. Kemudian letakkan di bawah tempat duduk atau di mana-mana ruang dalam kereta.

Kalau nak lebih berkesan, hiriskan daun pandan kecil-kecil dan letakkan dalam beg kain yang berlubang-lubang. (Macam ‘goodie bag’ yang selalu dapat dari rumah kenduri kahwin). Kemudian, gantungkan dalam kereta. Memang harum semerbak!

Tapi, jangan lupa menggantikannya dalam tempoh 2-3 minggu. Bila dah kering dan layu, baunya pun akan hilang sekali.

5. LEMON / LIMAU KASTURI

Kalau ada sebarang tumpahan, basuhkan seperti biasa. Kemudian, perahkan lemon atau limau kasturi pada bahagian yang tak hilang baunya. Biarkan seketika sebelum membilas seperti biasa.

Jus lemon atau limau kasturi juga boleh dibuat ‘spray’ kereta semulajadi. Perahkan pati lemon tadi dengan sedikit air dan campurkan sedikit cuka kerana ia boleh melawan kulat dan bau hapak. Kemudian, ‘spray’ pada bahagian dalaman kereta.

Sumber: siraplimau.com

Sumber:pelikdunia.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *